Thursday, May 21, 2015
Homestay di Bukit Mertajam
Hubungi Pok Leh 0195715007, harga Rm150. Area Taman Guar Perahu Indah. Sesuai dan berdekatan dengan UITM,MAtrikulasi, IPG dan me Udang sungai 2 dll
Memadam Kesilapan
Sebaik ia pulang ke rumah
ia mengajakku membeli pemadam
katanya getah pemadam yang kubeli
bila dipadam terlekat warna kehitaman
pemadam kawannya licin dan putih
aku sedikit memarahinya kerana pemadam
yang kubeli dibalut jenama terkenal
atau mungkin banyak peniruan
lalu diunjuk buku matematiknya
ternyata ada kesan kepalsuan.
Sebagai ayah, berapalah sangat duit ringgit
jika benar anak-anak mahu sekolah.
Aku membawanya ke kedai muhibbah
sepanjang jalan tergantung bendera
anakku bertanyakan cara bagaimanakah
digantung meniti wayar letrik?
Kata cikgu ia sangat bahayakan ayah?
sila-silap boleh mati!
Biarlah nak kerja orang politik, kataku.
Bukankah pemadam yang sudah kita beli
tidak menyucikan kertas,
Oh, ya apa nama pemadam yang baru
mari kita menukarnya supaya matematikmu
bersih dan kemas!
Tapi ayah, atas jalan kehidupan
matematik tidak berguna kerana ilmunya
hanya mengira keuntungan
Tak apalah nak, bila dapat pemadam baru
kita usaha padamkan kejahatan.
Kubang Semang, 2015
Hanya kami berdua
(mengenang Rahimidin Zahari)
Aku selalu membiarkannya pergi
berlegar sendiri seperti sejunjung petola pagi
menyulur matahari dalam titik embun
yang kuat berdoa pada langit.
Pergilah untuk menemukan diri
kegagalan suatu kemungkinan hidup
dari tiang-tiang yang dipilih dipacak tegak
atas batas kehidupan yang kerdil.
Hanya kami berdua
menukar kedegilan dengan kepercayaan
bahawa akar yang mengikat kenyataan
menegakkan pohon pemikiran
menjadi berbuah.
Bechah Keranji, 1994
Dua Nokhoda
Di luar kelir
tak ada dua nakhoda
yang muda, yang tua
sekepala sahaja.
Sejak mula bangsal
mahu dipadah
yang muda bersedia
yang tua mengemasnya
satu dalang
atas panggung kehidupan
kiri dan kanan
kertas dan belulang
besi dan kayu
bunyi dan lagu
semuanya hidup
tiada yang mati
melainkan dua nakhoda
berebut puteri
atau berebut negeri
dalang akan mematikan
dalam sadis cerita
pertempuran panjang
kerana dua nakhoda
dibenci orang
Ban Wang Tepus, Jitra.
Puisi Dalam Kampung
Sejak usiamu menulis puisi di kampung
kau menulis kebenaran yang tak pernah ada
jauh panggang dari api keberanian.
Tika sunyi kau mencari makna kebenaran
mengisi hidup mengheret buluh kesukaran
melepasi hutan untuk dibelah menjadi dinding
ketabahan demi sesuap perkongsian.
Sejak usiamu menulis puisi di kampung
kau kenal banyak pekara yang sudah dipunahkan
buluh yang memagari dusun sudah diracun
rotan yang berselirat sudah lama dibakar
baruh sudah bertukar menjadi perumahan.
Nama kampungmu menjadi sebuah nama sia-sia
banyak tanah belukar terbiar hak pusaka si kaya
dilihat berkawan sia-sia dengan babi hutan.
Hari Jumaat ini aku ingin berkhutbah
biarlah dibacakan puisi dengan kudrat jantan
mengais kehidupan atas tanah kesuburan
supaya lingkaran kedaifan tak melilit hidup
berdikari dengan kudrat bahawa bukan puisi
yang diperlukan, tetapi mencari makna kebenaran
dalam bahasa kemiskinan di perkampungan abadi.
Sejak usiamu menulis puisi di kampung
tak ada orang yang mahu bermenantu denganmu
ubi-ubi gadung dan siput-siput hitam di baruh
tidak dipandang orang seperti seni puisimu sendiri
tak mampu memberi makan atau kekayaan.
Sejak usiamu menulis puisi di kampung
kau ingin berkata benar dalam pemikiran
susahnya seperti anyaman dinding dan sulitnya
seperti tawarnya racun ubi gadung direndam daun getah,
Aku diajar berpuisi memahami jalan
kesulitan dengan kamus kata-kata, menulis
dan membinanya supaya hidup sama sahaja
menjadi penulis, tukang, pekebun atau konglemerat
yang berjaya tiada bezanya selagi akal kekal berusaha
mengikut jalan dan kaedah yang bijaksana.
Sejak kau menulis puisi di kampung
nama kampungmu memang menjadi sebuah nama sia-sia
tak ada orang memilih dan memberi kepercayaan
sekepal tanah puisimu hanyalah khayalan
yang tidak terbaca kandungan kebenaran
taman-taman akhlak dan bijak bahasa fikiranmu
tergadai pada pohon kedegilan yang tumbang
dibakar kayunya pun tak berarang
Sejak kau menulis puisi dalam kampungmu
kau melontarkan renungan pada perubahan
biar hidupmu seperti pepohonan berjasa
yang tidak tergamak ditebang
meskipun kampungmu tiada dalam genggaman
Bechah Keranji, 2015
Lidah Dalang
Selepas berjumpa
Sri Rama di medan Mara
ia mencari Pak Dogol
langsung ia bertemu
adindanya Wak Long
sangat amarah di Sogo
lalu memanggil sidang
pertemuan negara
merajuklah rakyat jelata.
Aku ada lidah
tetapi lidahku pendek
kau pun ada lidah
tetapi lidahmu
dipendekkan dalang.
Wok Yoh dan Said
pun berjalan di kota besar
melihat pembangunan kota
dibanjiri hulubalang
semua terkejut
di padang keramaian itu
Samad berbaju hitam
melaung bahasa puisi
di sisi puteri Sita Dewi
dalam hujan petang
kedua-duanya tercengang
melihat Samad muncul
sebagai pahlawan
di sebuah kelir lain
yang tak berwarna putih
cuma mereka berdua
susah jua mengaku
lidahnya dipendek dalang
dalam panggung
demi memainkan watak
yang kena main.
Sogo, 2015
Subscribe to:
Posts (Atom)