Thursday, May 21, 2015

Puisi Dalam Kampung Sejak usiamu menulis puisi di kampung kau menulis kebenaran yang tak pernah ada jauh panggang dari api keberanian. Tika sunyi kau mencari makna kebenaran mengisi hidup mengheret buluh kesukaran melepasi hutan untuk dibelah menjadi dinding ketabahan demi sesuap perkongsian. Sejak usiamu menulis puisi di kampung kau kenal banyak pekara yang sudah dipunahkan buluh yang memagari dusun sudah diracun rotan yang berselirat sudah lama dibakar baruh sudah bertukar menjadi perumahan. Nama kampungmu menjadi sebuah nama sia-sia banyak tanah belukar terbiar hak pusaka si kaya dilihat berkawan sia-sia dengan babi hutan. Hari Jumaat ini aku ingin berkhutbah biarlah dibacakan puisi dengan kudrat jantan mengais kehidupan atas tanah kesuburan supaya lingkaran kedaifan tak melilit hidup berdikari dengan kudrat bahawa bukan puisi yang diperlukan, tetapi mencari makna kebenaran dalam bahasa kemiskinan di perkampungan abadi. Sejak usiamu menulis puisi di kampung tak ada orang yang mahu bermenantu denganmu ubi-ubi gadung dan siput-siput hitam di baruh tidak dipandang orang seperti seni puisimu sendiri tak mampu memberi makan atau kekayaan. Sejak usiamu menulis puisi di kampung kau ingin berkata benar dalam pemikiran susahnya seperti anyaman dinding dan sulitnya seperti tawarnya racun ubi gadung direndam daun getah, Aku diajar berpuisi memahami jalan kesulitan dengan kamus kata-kata, menulis dan membinanya supaya hidup sama sahaja menjadi penulis, tukang, pekebun atau konglemerat yang berjaya tiada bezanya selagi akal kekal berusaha mengikut jalan dan kaedah yang bijaksana. Sejak kau menulis puisi di kampung nama kampungmu memang menjadi sebuah nama sia-sia tak ada orang memilih dan memberi kepercayaan sekepal tanah puisimu hanyalah khayalan yang tidak terbaca kandungan kebenaran taman-taman akhlak dan bijak bahasa fikiranmu tergadai pada pohon kedegilan yang tumbang dibakar kayunya pun tak berarang Sejak kau menulis puisi dalam kampungmu kau melontarkan renungan pada perubahan biar hidupmu seperti pepohonan berjasa yang tidak tergamak ditebang meskipun kampungmu tiada dalam genggaman Bechah Keranji, 2015

No comments: