Friday, September 30, 2011

Drama TV Pak Ngah Haji Omar

Oleh: Salleh Yaacob

Dalam filem biografi seorang pengarah sangat terikat dengan keupayaan untuk mempersembahkan fakta dalam adunan secara fiksi realiti. Faktor ini disebabkan oleh banyak situasi, malah kekurangan itu tidak menjadi masalah kepada pengarah kreatif kerana melalui kebijaksanaan kreatif ia mampu mengambarkan tiap babak peristiwa itu sedekat mungkin. Hal yang sedemikian mungkin juga berlaku kerana adakalanya kekurangan modal, ketiadaan kepakaran dan kemungkinan jarak yang masa sudah memisahkan jauh rentetatan peristiwa dalam naskah lakon.

Walaupun begitu, semasa menonton telefilem Pak Ngah Haji Omar, kesan-kesan kekurangan dalam peceritaannya dapat dikurangkan. Penayangan telefilem Pak Ngah Haji Omar dalam mengisi slot Merdekaraya dan diulang siarannya semasa menyambut hari penubuhan Malaysia oleh television berbayar al-Hijrah baru-baru ini amat mempesonakan. Filem arahan Dato Ahmad Tamimi Siregar dengan lakonan hebat Eman Manan, Wan Hanafi Su, Rosnah Johari serta sekumpulan anak muda teater daripada Kedah ini menunjukkan filem biografi sejarah ini mempunyai kelainan jika dibandingkan dengan filem-filem fiksi yang lain. Sayangnya tidak ramai yang berkesempatan menontonnya.

Dato Ahmad Tamimi Siregar pengarah kreatif

Secara ringkasnya, dalam filem ini seorang ilmuan agama menyedari perjuangan bangsa dan negara tidak boleh berdiam diri, Pak Ngah Haji Omar mahaguru silat yang mendalami pengajian Islam, (perwatakan ini di ambang awal pergerakan protes di Tanah Melayu ada di mana-mana kawasan sahaja). Filem atau drama ini, secara asasnya menceritakan hal berkaitan dengan biografi dan perjuangan tokoh agama yang menjadi sanjungan masyarakat. Beliau memilih jalan hidupnya sebagai pemimnpin setempat yang berbakti kepada masyarkat dan merupakan tokoh agama yang berpengaruh untuk mengajak rakyat bangkit menentang musuh,Jepun, komunis dan British sehinggalah mencapai kemerdekaan.

Pak Ngah Haji Omar, watak penting ini amat menyedari perjuangan tidak boleh dilakukan secara bersendirian atau secara berseorangan kerana segala tembok pemisah yang ada antara kaum perlu dirapatkan terlebih dahulu. Selagi ia tidak menghakis akidah dan budaya, penyatuan hidup dengan kaum lain amat diperlukan. Pak Ngah Haji Omar bergabung tenaga melalui kumpulan Silat Selendang Delima, beliau menyerang hendap musuh negara. Pak Ngah Haji Omar akhirnya menyertai parti politik SEBERKAS dan menjadi calon pilihan raya sehingga kemenangan yang diperoleh itu membolehkannya dilantik menjadi wakil rakyat untuk mewakili kawasannya. Pak Ngah Haji Omar juga mendapat kritikan dan teguran daripada Haji Hussin, abangnya. Itu hanyalah bahan mentah yang menjadi asas dalam pembikinan filem.

Semasa saya membaca skrip filem asal, pada hemat saya ternyata filem ini sebuah drama yang berat. Bagaimanakah pengarah mahu menggambarkan suasana yang berlaku di sekitar 55 tahun yang lalu. Selain isu sejarah dan politik, filem biografi tokoh tempatan seperti ini juga nantinya tidak akan memikat selera penonton muda yang sudah biasa dengan filem dan drama cinta dari Korea dan Indonesia. Tetapi dengan keupayaan dan pengalaman seniman besar yang masih tinggal dan aktif berkarya, pengarah hebat dan berpengalaman luas seperti Dato Ahmad Tamimi Siregar serta tenaga produksi, beliau berjaya mengangkat drama bercorak biografi politik dan perjuangan ini menjadi sebuah karya yang menarik untuk ditonton seisi keluarga.

Dengan memilih latar persekitaran di Kuala Nerang yang memiliki sedikit kesan peninggalan sejarah perjuangan tokoh dalam skrip cerita berkenaan, serta dibantu pula oleh keluarga tokoh pejuang berkenaan yang masih hidup, kerja-kerja filem terutama dalam proses penggambaran telefilem ini menjadi seronok, mudah dan berkesan. Pekan Kuala Nerang itu sendiri menyediakan lanskap filem yang banyak membantu kerja seni, umpamanya sebuah rumah sejarah, masjid lama Langgar, kebun dan hutan yang menghijau, sebuah lori ikan, perkampungan Siam yang diperlukan berdasarkan skrip. Segala kemudahan yang ada memudahkan perjalanan proses pengambaran terutama pemilihan lokasi, malah memudahkan kerja-kerja pengarahan.

Selain melatih ilmu persilatan, Pak Ngah Haji Omar juga di datangi watak Ah Seng, penduduk Siam yang turut sama menghadapi ancaman komunis.. Melalui watak Ah Seng yang mewakili Kaum Siam di tanah Melayu. Pak Ngah Haji Omar menyedari orang Siam juga perlu diberi peluang berjuang dan bersilat. Dengan lakonan yang bersahaja, watak sampingan ini membantu menyuburkan kesan dramatik dan kesan pengajaran dalam filem, malah kehadiran komuniti Siam memberi kesan kepada penonton supaya turut bersimpati dengan perjuangan. Eman Manan selaku pendukung watak penting dalam cerita ini banyak mencorak aksi berlakon para pemain diseklilingnya.

Pelakon hebat seperti Eman Manan, yang membawa watak Pak Ngah Haji Omar yang tangkas bersilat seumpama belut pulang ke lumpur, juga amat sesuai dengan ketokohan dalam cerita. Biarpun loghat utara tidak dibahasakan oleh beliau, tetapi kerana kekuatan lokanan Eman Manan bahasa sudah tidak begitu mustahak lagi. Keupayaannya beliau menguasai jurus silat, menyakinkan penonton bahawa itulah Pak Ngah Haji Omar yang diidamkan. Kehadiran dan gaya lakonan beliau banyak menghidupkan perkembangan plot dalam telefilem ini.

Eman Manan dan Rosnah Johari

Sebagai penonton, saya melihat silat ialah simbol penting dalam perjuangan dan ia menjadi amalan pemakaian orang Melayu. Silat juga menjadi cermin kepada ilmu dalaman dan kepahlawanan. Demikian, nasihat Pak Ngah Haji Omar kepada Ah Seng apabila beliau berminat mahu belajar tetapi kehadirannya pada awalnya sangat dicurigai. Babak-babk yang menarik seperti permainan gerak kaki,pelimau,cara menawan musuh dan pencahayaan juga memberi kesan yang sesuai dengan situasi digambarkan.

Semangat kesedaran bangsa serta minda perjuangan juga perlu dipupuk dan ditanam melalui khutbah di masjid-masjid waima di atas lori. Pergerakan penentangan secara senyap ini tetapi hidup dan membiak. Hal yang sedemikian, berlaku dalam masyarakat suatu ketika dahulu. Pemimpin dan penduduk kampung mesti bersatu, dan di sini kita dapat melihat bagaimana pengarah cuba mengambarkannya dengan elemen kreatif yang mudah tetapi tetap menarik dan berkesan. Sebagai penonton kita tidak berasa terganggu malah bersedia menerima teknik pengambaran berkenaan. Dengan menggunakan sebuah lori dan babak turun naik lori itu ia sudah dapat menghubungkan suatu slot dengan slot yang lain.

Semasa di rumah tokoh, pengarah tidak membariskan pasukan keselamatan yang ramai berbanding komunis, tetapi dengan kemuculan seorang ketua pasukan keselamatan yang akan berkerjasama dengan Pak Ngah menentang komunis sudah dapat meyakinkan perjalanan ceritanya. Bagi membangkit kesan ingatan penonton supaya selari dengan cerita, beberapa perisitiwa besar yang tidak mampu dilakukan, ditambah masuk. Beberapa peristiwa yang sedia ada sumbernya di dalam internet supaya menjadi sebahagian daripada perjalanan drama dalam telefilem ini. Contohnya laungan kemerdekaan oleh Tunku Abdul Rahman, rudingan British dan beberapa contoh peristiwa yang lain.

Sebagai penonton saya dapati pesan Haji Omar dan Haji Hussin dalam telefilem ini amat jelas. Cerita ini cuba membangkitkan jiwa rakyat memahami kepentingan silat sebagai ilmu mempertahankan diri dan ikhlas dalam menyertai perjuangan. Kelantangan dan sokongan penduduk kampung menyebabkan Haji Omar atau Pak Ngah mula diperhatikan oleh pihak kerajaan pada masa itu. Pada masa yang sama perjuangan nasionalis pula tersepit dalam kebejatan antara agama dan politik. Haji Omar mendapat sokongan penduduk kerana ketangkasan silat serta kelantangan dan keberanian perjuangannya. Semua peristiwa ini digarap dengan visual yang mudah dan kreatif.

Hari in, sebagai penggemar filem, khususnya drama televison, saya merasakan tidak banyak telefilem cereka yang berkaitan dengan sejarah perjuangan bangsa dijadikan medium berkarya oleh pengarah filem tempatan. Filem-filem sejarah perjuangan Melayu dalam menghadapi ancaman kuasa asing bukan sahaja menawarkan hiburan, bermakna dan kesan nasionalis, tetapi meniup motivasi jiwa kepada genarasi baru. Idea filem seumpama ini perlu diangkat dengan lebih banyak ke layar television bagi mengisi slot drama yang dibanjiri filem Indonesia. Idea dan bahan untuk membuat skrip filem berkenan boleh diadaptasi daripada karya sastera ataupun berasaskan maklumat sejarah dan individu yang tahu ceritanya.

Contohnya biografi Pak Ngah Haji Omar ilmuan yang menyedari perjuangan bangsa dan negara tidak boleh berdiam diri, Beliau memilih jalan hidupnya sebagai pemimnpin setempat dan tokoh agama yang berpengaruh untuk mengajak rakyat bangkit menentang Jepun dan British. Beliau amat menyedari perjuangan tidak boleh dilakukan secara bersendirian, secara berseorangan dan segala tembok pemisah yang ada antara kaum perlu dirapatkan terlebih dahulu selagi ia tidak menghakis akidah. Maka gerakan perjuangan itu perlu diteruskan. Melalui watak Ah Seng yang mewakili Kaum Cina perlu diberi peluang berjuang dan bersilat.

Jiwa Melayu perlu dibangkitkan daripada lalai dengan budaya asing. Silat ialah simbol penting dalam perjuangan Melayu. Silat juga menjadi cermin kepada ilmu dalaman dan kepahlawanan. Semangat dan kesedaran ditanam melalui khutbah di masjid-masjid. Pergerakan senyap tetapi hidup dan membiak ini berlaku dalam masyarakat suatu ketika dahulu. Haji Omar dan Haji Hussin membangkitkan jiwa rakyat menyertai perjuangannya. Kelantangan dan sokongan penduduk kampung menyebabkan Haji Omar atau Pak Ngah mulla diperhatikan oleh pihak kerajaan pada masa itu. Pada masa yang sama Perjuangan nasionalis pula tersepit dalam kebejatan antara agama dan politik. Haji Omar mendapat sokongan kerana kelantangan dan keberanian perjuangannya.

Tahniah, Dato Ahmad Tamimi Siregar. Hari ini beliau merupakan seorang tokoh penting dalam industri seni di tanah air kita. Ketokohannya sangat bernilai kerana beliau terlibat dalam pelbagai bidang seni dan sejak-sejak akhir ini beliau juga berupaya menjadi pengarah yang baik.

Seni Deklamasi Puisi

Salleh Yaacob

Secara umum seni deklamasi puisi masih subjektif dan mempunyai kelpelbagaian tanggapan. Ada yang meletakkan apa tujuan majlis, ada yang memilih menemui cara yang tersendiri dan tidak kurang juga yang memilih stail penyampian sebagai wadah berkomunikasi. Dalam beberapa situasi di dapati pendeklamasi puisi ada di antaranya bukan penyair tetapi berjaya mendeklamasi puisi dengan berkesan. Kualiti penghayatannya adakalanya melebihi pengarang puisi berkenaan. Jika bersandarkan pada pemerhatian tersebut, seni deklamasi puisi seakan hampir sama dengan bidang seni yang lain iaitu melalui proses yang berperingkat-peringkat.

mempunyai kaitan dengan dekorasi. Istilah dekorasi bermaksud membuat ………perhiasan rasa dan pemikiran puisi yang perlu ditunjukkan bersama-sama, malah adakalanya serentak dengan deklamasi. Oleh yang demikian, pendeklamator puisi perlu masak, matang dan berpengalaman dalam menentukan dekorasi sebelum senaskah puisi dideklamasi di depan khalayak umum. Semasa seseorang itu berada di atas pentas puisi, alam dekorasi itu sudah digubah, diatur dan disesuaikan mengikut kehendak pendeklamtor. Selain itu, puisi yang dipilih untuk dideklamasi di pentas sudah melalui proses dekorasi awal. Proses dekorasi berperingkat-peringkat ini banyak bergantung kepada kemampuan mentafsir dan mengolah. Latihan, percubaan demi percubaan perlu dilakukan supaya memperoleh keserasian, menemui rentak dan menentukan corak serta gaya deklamator.

Asas awal seseorang deklamator mestilah seorang yang berbakat dan mempunyai seni suara yang sesuai. Pada peringkat awal, seorang deklamator juga mesti mempunyai minat dengan puisi serta mempunyai kemampuan untuk menghayati puisi. Hal yang demikian disebabkan bahawa seni deklamasi puisi merupakan suatu proses pendeklamasian yang berterusan dan berpanjangan. Sukar untuk mencari kesempurnanan dan kematangan kalau hanya mendeklamasi puisi secara bermusim. Bakat pemuisi ini boleh dipupuk dengan berlatih mendeklamasi puisi dirumah, di bilik darjah di sekolah atau menyahut cabaran awal di zaman persekolahan dengan mengambil bahagian dalam deklamasi puisi mengikut program tertentu yang diaturkan di peringkat sekolah.Umpamanya sempena sambutan bulan patriotik, minggu bahasa atau sebaiknya menguji diri dalam bentuk pertandingan di peringkat daerah dan negeri. Bakat dan minat awal perlu dipupuk bersama-sama oleh keluarga.

Soalnya bagaimana selepas alam persekolahan. Kebanyakkan bakat remaja ini tewas kerana tidak banyak program sedemikian dianjurkan. Bakat tersebut akhirnya terbiar begitu sahaja kerana terlalu banyak kekangan lain yang lebih penting lagi berbanding dengan mendeklamasi sajak. Justeru belum pernah kita melihat individu yang professional menceburi bidang deklamasi puisi untuk menyara kehidupan. Apalagi untuk menjadikannya sebagai kerjaya. Walhal sekiranya diambil kira sebagai keperluan dan kerjaya bidang dekalmasi puisi juga menjanjikan peluang yang hampir sama dengan genre seni yang lain. Syaratnya deklmator mestilah mencipta nama dan berjaya memukau khalayak sehingga kehadirannya di pentas sentiasa ditunggu oleh peminatnya sendiri. Salah seorang tokoh deklamtor yang mengagumkan khalyak sastera ialah W.S Rendra.

Sebagaimana juga bidang kerjaya seni yang lain, bakat sahaja tidak memadai. Mereka yang berminat untuk menjadi pendeklamator puisi perlu menimba ilmu dan membuat perenungan untuk mendapat stail tersendiri dalam deklamasi puisi. Pencarian ilmu yang berkaiatan dengan seni deklamasi puisi ini sememangnya tiada lagi modul yang khusus. Seni pembelajarannya masih terbuka malah terpulang kepada mereka yang berminat untuk menerokainya. Demikian itu kerana seni deklamasi puisi hanya dijayakan di negara kita dan beberapa buah negara di Asia Tenggara.

Konsep dekorasi kebiasaannya ditemui serta digunakan dalam seni taman, hiaans rumah, hias pejabat dan dekorasi pentas. Waima apapun cara digunakan dalam mendeklamasi puisi, pembacanya telah melalui satu proses dekorasi berperingkat. Sebaik sahaja memperoleh keselesaan dan kesesuaian dengan kehendak dalaman dan luaran sang pendeklamasi melontarkan bentuk-bentuk deklamasinya di pentas secara spontan berdasarkan peringkat-peringkat latihan yang ditemui.

Pengalaman Bacaan Dalam Harum Kencana dan Oghe Kota Baru

Salleh Yaacob

Novel skala besar selalunya mempunyai idea yang bertaburan dan akan melanggar segala keteraturan keseronokan pembaca serta mempunyai sedikit kesulitan untuk memahaminya dengan mudah. Novel-novel sedemikian walaupun dinobatkan sebagai pemenang berprestej di Malaysia, namun ternyata ia masih sukar untuk dijual. Apatah lagi menuntut khalayak pembaca untuk membeli atau sekurang-kurangnya meminjamnya di perpustakaan. Ia sama sekali berbeza dengan filem. Laris dan mudah dicetak rompak. Panel penilai telah menamakan novel dan pengajur telah menyediakan saguhati tetapi novel berkenaan miskin pembaca. Pembaca tetap menolak novel serius dan memilih novel-novel popular yang ringan dan mudah untuk dihayati. Mengapa berlaku bebanan sedemikian. Bilakah akan berakhir kepongangan sastera serius dalam arus pembangunan Negara?

Sebagai seorang pembaca, pembaca membaca untuk mendapatkan kenikmatan dan keindahan penyampian cerita. Proses bacaan yang bersifat subjektif ini meletakkan pembaca mengikut selera peribadi. Oleh yang demikian, pembaca pada asasnya tidak boleh dipaksa kerana telah dipasak dengan ungkapan aku punya wang dan kau punya barang. Tentu sekali selera berada di tangan pembaca. Sekiranya sesebuah novel itu intim dengan nalurinya maka pembaca akan mengagahi mindanya untuk menghabiskan buku tersebut. Sebaliknya jika proses bacaan untuk mendapatkan cerita itu melanggari hukum kebiasaan, pembaca akan berhenti membaca. Ada sesetengah pembaca mengatakan mengapa perlu sakit kepala, mengapa perlu menyusah diri untuk berfikir hal-hal di luar kemampuan diri. Berdasarkan pemasalahan sedemikain, industri buku khususnya novel-novel serius sukar dijual. Apatah lagi mahu diulang cetak, fenomena sedemikian sungguh meletihkan dan tidak berkesudahan. Di sebalik kekusutan tersebut, terdapat beberapa faktor penting yang mempengaruhi kesuraman berkenaan.

Budaya membaca tidak dibangunkan sejak awal. Jika direnung sejak awal pelajar-pelajar di sekolah dan juga di rumah tidak didedahkan dengan budaya membaca. Minat dan jatuh cinta pada buku dan bahan bacaan tidak menjadi budaya dalam keluarga. Barangkali bagi keluarga miskin factor kewangan menjadi penghalang. Program nilam umpamanya program paksaan kerana budaya membaca itu gagal mendidik murid-murid membaca buku kerana banyak masa dihabiskan secara sia-sia. Murid-murid kini lebih banyak berbual kosong dan bermain game dalam komputer. Mereka membesar dan menjadi malas untuk membaca. Hal sedemikian berlaku disebabkan oeh pengalaman bacaan pembaca yang tidak didedahkan dengan karya-karya berkualiti. Di manakah punca kepada kelemahan ini. Adakah ia hadir kerana fenomena bernegara yang di bentuk sejak sekian lama masih berada dalam kegelapan ilmu. Atau sudah menjadi kelaziman apabila sesuatu itu menjadi terlalu senang dan selesa, pemikiran menjadi kurang berfungsi malah mudah benar untuk menolak kepayahan. Situasi masyarakat di atas sebenarnya telah lama dibahaskan oleh Plato. Katanya dunia terbahagi kepada dua bahagaian, dunia nyata dan dunia edos. Dunia edos iaitu dunia yang tidak kelihatan tetapi dapat dicapai melalui penguasaan ilmu pengetahuan. Dalam pemasalahan ini fungsi dan peranan pendidikan sebagaimana disarankan oleh Herbert Spencer sebanyak tujuh prinsip itu perlu diberi perhatian semula. Antara prinsip tersebut terutamanya fungsi yang keempat iaitu memperbanyak ilmu pengetahuan merupakan bagian penting dalam pendidikan; serta prinsip yang kelima pendidikan dimaksudkan untuk membantu perkembangan fisik, sekaligus otak. Justeru, kelemahan yang sedemikian menyebabkan mimpi negara maju tidak akan berjaya apalagi untuk berdaya saing.

Aristotle menyatakan asas kehidupan manusia, terbahagi kepada dua prinsip iaitu kebendaan dan fizik. Manusia materealistik mahupun individualistic hanya mementingkan tujuan kehidupan dan berusaha untuk memaksimumkan segala-gala tujuan kehidupan yang bersifat keduniaan. Akalnya bijak berfungsi kerana ilmu pengetahuan pasif mendesak supaya lebih bernafsu. Manusia yang berilmu pegetahuan tetapi tidak mempunyai jiwa juga mati. Menolak karya-karya sastera yang berfungsi sebagai pendidikan jiwa makhluk.Pengarangnya memberikan terlalu banyak peristiwa sehingga memualkan pembaca untuk meyelidiki kerumitan yang berlaku dalam melunaskan relasi pemikiran dengan struktur karya. Jika kita membaca novel Sasterawan Negara S. Othman Kelantan. Oghe Kota Baru (selepas ini disebut OKB) dan membaca novel Harum Kencana (HK) karya Zaharah Nawawi ia memberikan pengalaman bacaan yang berbeza di antara satu sama lain.

Oleh yang demikian, bebanan bacaan diberatkan lagi dengan masalah ilmu untuk mencari dan memahami peristiwa, dan seterusnya mengaitkan dengan wacana. Dunia diluar pengalaman adakalanya membatasi bacaan dalam proses penyatuan fikiran untuk menyerap plot demi plot, mengumpul dan menyukat peristiwa yang dibahaskan dalam karya. Sesungguhnya novel skala besar memerlukan pembaca yang berjiwa besar, pembaca yang membaca kerana mahu mencari sesuatu dalam karya.

Kedalaman Wacana Dalam Puisi Muhamad Haji Salleh

Oleh: Salleh Yaacob

Puisi diciptakan dengan menerapkan pelbagai unsur alam dan bahasa. Penciptaannya merupakan suatu proses yang membentuk kesatuan yang tertinggi dalam pemikiran manusia. G. Chaucher menegaskan puisi ialah hasil daripada perenungan dan pemikiran tertinggi penciptanya setelah melalui pengalaman dan peristiwa itu. Hasil pemikiran itu ditulis menjadi puisi.
Penyair mencipta, diulang menciptanya selagi ada titik-titik pemikiran yang diganggu oleh saraf haba dan bahasa. Sifatnya sangat kompleks, tenaganya jauh berbeza-beza daripada karangan-karangan biasa. Malah puisi itu adakalanya menjadi satu proses sains bahasa, satu proses eletrikal yang merujuk kepada kekuatan daya pemikiran dalam mengolah bahasa
Metthew Arnold mereaksikan puisi sebagai kegiatan intelektual dan Sutardji mengibaratkannya lahir pemikiran baru. Untaian makna puisi sangat kompleks, seleranya berpecah dan pelbagai ditangan pengkarya.. Istilah puisi padu dan padat malah sangat besar maksudnya dalam memacu zaman. Justeru, hanya pengarang yang mempunyai wacana puisi sahaja yang mampu menzahirkan sebuah puisi yang hebat melalui medium bahasa dan kata-kata terpilih. Dalam puisi ada pemikiran dan unsur-unsur teks yang harmoni. Bahasa menjadi tulang belakang, bait-baitnya dipadat menjadi makna dalam lautan kata-kata. Bahasa adalah bahan tumisan bagi seniman sastera, Wellek dan Warren mendedahkan hakikat puisi dicipta seniman besar yang menempuh kepelbagaian pengalaman kehidupan, kemudian disingkat dalam anekdot kecil. Umpamanya seperti peribahasa, pendek tetapi mendalam upaya maknanya. Demikan seni puisi, dalam bahasa ada stail, ada lenggok dan ada wacana intelek yang tidak mati.
Walau bagaimanapun,,sebagai pembaca dan penelaah puisi, dalam bahasa puisi itu ada kata yang menjadi tanda kepada pemikiran utama. Pemikiran yang singgah itu berdiri seolah-olah menjadi sebuah arca. Arca itu menjadi aura yan hidup dan berkata-kata. Hubungan antara bahasa dalam medan kata membuatkan bait-bait puisi menjadi segar, hidup, indah dan bermakna. Demikian itu, maka sebuah puisi sudah menjadi sebuah teks yang mampu bediri sendiri, ada stail, ada nyalaras dan irama.
Sehubungan itu, puisi yang baik akan diangkat menjadi dokumen sosial yang merakam sesuatu peristiwa. Ketaksaannya menjadi ingatan dan sebutan. Umpama pantun budi, pisang emas dibawa belayar atau gunung daik bercabang tiga. Ketaksaannya mampu bertahan sampai bila-bila. Hal ini adalah kerana perhubungan antara kata dengan kata dalam puisi hanya menjadi dokumen yang bernyawa, apatah lagi jika ditafsir makna bahasanya.
Kajian terhadap ketepatan perkataan dan hubungan dengan makna menyebabkan dokumen dalam puisi berupaya menjadi puisi ilmu yang berguna.
Justeru, masyarakat pembaca akan merujuk puisi sebagai rakaman sosial yang bernilai, kerana telah merakam peristiwa yang besar, menjadi tanda dan rujukan bangsa. Demikian itu, sajak-sajak Chairil Anwar, Usman Awang, T.Alias Talib dan beberapa penyair besar yang sudah tiada tetapi karyanya masih mampu bertahan, sedap dan asyik dibaca. Manipulasi bahasa dan makna sangat dekat, terasa bekas kehadiran, lemak ucapan penyair.
Ahli bahasa Chomasky mahupun Piaget, membicarakan mental dan perkembangan intelektual berlaku dalam proses perkembangan akal manusia. Salah satu bidang kajian bahsa ialah stailistik. Biarpun kajiannya hanya berpusat kepada perkembangan ilmu bahasa, tetapi proses perkembangan itu sebenarnya juga hadir, malah dapat diteliti kemunculannya dalam bait-bait penulisan puisi para penyair.. Berdasarkan asas-asas diksi yang dipilih dalam puisi, tulisan ini akan membicarakan hanya sebuah sajak Sejemput Jiwa (Akasra Usia, 1998) karya Muhammad Hj Salleh.
Bahasa dalam penulisan puisi mempunyai kepelbagaian implikasi. Salah satu implikasinya berkaitan dengan pemberian medan makna atau maksud keselurahan puisi itu sendiri. Dalam sajak Sejemput Jiwa, dalam antologi Aksra Usia, penyair dan sasterawan negara Muhammad Hj Salleh, selepas ini diringkaskan (MHS) memperlihatkan kekuatan bentuk pemilihan kata dan penggunaan bahasa yang berkembangan selari dengan pemikiran serta perenungan penyair sehingga memberikan ruang makna yang ingin disampaikan itu bersatu dalam satu pemikiran.
Secara umumnya sajak Sejemput Jiwa, ditajamkan dengan kekuatan perenungan dalam konteks hunbungannya dengan bahasa kiasan serta penyesuaiannya dengan unsur alam, dan pada masa yang sama puisi Sejemput Jiwa dimatangkan lagi dengan ketajaman pemikiran. Pengabungannya menjadi satu transformasi yang hidup, sesuai dan segar dalam konteks bahasa puisi. Imej teduh, tapak, hari, gurun, diri dan muda dalam rangkap pertama memberi makna betapa kecilnya kehidupan. Manakala kehadiran kata berlindung, dan kata kunilai, membawa makna tentang pemikiran yang ada kaitan dengan perjalanan kehidupan itu bagaikan sejemput jiwa.
Secara mudah pembaca dapat menyerap makna dari awal rangkap pertama. Manipulasi kata-kata berjalan-jalan, seolah-olah mengikut rentak pemikiran dan pemenungan secara berpasangan. Dalam rangkap kedua, biarpun hanya dua baris kata-kata yang diungkapkan, pengarang MHS seolah-olah membuat suatu kesimpulan kecil tentang pemikiran dan pemenungan. Chomasky mengatakannya sebagai intutif dan naluri.
Katanya nilai bersukat waktu, waktu diukur uji. Benar, sebagai pembaca adakalanya kita merasakan ruang waktu dan nilai kehidupan yang diberikan untuk tiap-tiap manusia merasainya mestilah disempurnakan dengan jalan ilmu, jalan amal dan jalan iman. Dalam konteks bahasa, kata sukat dan ukur memberi impak yang sama, namun begitu dalam konteks jiwa hanya jauhari yang mengenal manikam. Perjalanan kehidupan, ibarat sejemput jiwa, insan yang kerdil berpayung di bawah hari demi hari yang terkumpul menjadi pohon usia.
Kehadiran subjek yang menggangu jiwa telah merangsang minda intelek untuk bekerja. Dalam sajak Sejemput Jiwa MHS menulis dipinggir munawarah, aku pulang ke rumah diri, yang rosak oleh badai tahun, dan dituakan gelombang gelisah. Bayangkan bahasa dan makna rumah diri yang rosak oleh badai tahun, bukan angin atau rebut. Apakah tahun-tahun yang penuh kelalaian itu berlegar dalam ruang pemikiran sehingga mengajak sedikit kesempatan untuk pulang ke rumah diri.
Perkataan Munawarah, dalam konteks makna seolah-olah berlaku satu pergelutan dan penyatuan senyap di antara ruang diri dalam diksi dengan ruang diri dengan alam. Alam tidak memberikan apa-apa makna melainkan sejarah dan perenungan manusia terhadap makna alam itu sendiri. Munawarah juga memberi satu tahap operasi pemikiran alam sosial manusia dan Ilahi. Makna dalam pemikiran dihidupkan dengan proses perenungan yang amat bijaksana keadaannya. Justeru dalam rangkap ketiga sajak Sejemput Jiwa, sebagai pembaca kita amat terasa nada dan makna itu bergabungan, hadir bagaikan dalam doa.
Perjalanan dan kembara hidup menemukan pengalaman kata-kata yang lebih dekat. Oleh hal yang demikian pemikiran dan perenungan memungkin lahirnya ekspresi kata-kata yang bersifat intelek malah memungkinkan penulisan puisi yang lebih baik. Dalam rangkap keempat penyair MHS menulis begini ada rentak risau dihujung nafas kerana yang kudatangi ialah kerja besar sujud yang lebih dalam dari tunduk kelmarin. Rangkap keempat ini sengaja diprosakan dalam bentuk ayat. Rangkap ini perlu dibaca bersama-sama diksi Munawarah. Manakala perkataan sujud dan tunduk membawa makna selapis yang mudah difahami. Tetapi penekanan perkataan dalam membawa makna abritari. Lapisan yang pertama membawa makna keinsafan kepada umat manusia bahawa hidup ini bagaikan sejemput jiwa, atau barangkali keinsafan itu hadir secara intutif setelah melalui pengalaman kerohanian seperti yang disimpulkan dalam nilai bersukat waktu atau waktu diuji oleh masa.
Selain itu, adakalanya menulis puisi memberikan pembaca merasa dan menikmati kehadiran kesan puitis melalui medan rasa. Dalam bait berikut penyair menulis pengadilnya lebih keras dari hakim muda, tapi lebih lentur dari peraturan kerana yang diukur itu sejemput jiwa, yang berongga rasa dan hasrat.
Ungkapan kata dengan metafora pengadil yang lebih keras, akan lahir rasa dibenci tetapi dalam konteks penikmatan penyair sempat membandingkan dengan hakim muda. Tindakan hakim muda banyak dipengaruhi nafsu ataupun masih belum banyak mengemudi perlawanan. Begitulah kias sajak, perenungan berlaku dalam kata, dan dalam pemikiran pula ada perenungan intutif. Sejemput jiwa tidak pernah sunyi, rongga rasa dan rongga hasrat ternganga, melainkan jiwa yang sujud dan tunduk pada iman.
Sesungguhnya dalam dunia ekspresi terdapat dua faktor yang kuat mempengaruhi manipulasi bahasa. Kedua-dua faktor itu ialah berjauhan dan bertentangan. Jauh tidak ada halangan tetapi dekat tidak ada selang. Lazimnya jauh lidahku berkata-kata, apaliba berdekatan lidahku kelu membisu seribu bahasa. Tetapi bagi sesetengah penyair, berlaku keterbalikan sikap, dekat lidah dan jiwaku bersatu rasa. Dalam sajak Sejemput Jiwa penyair melihat dan singgah merasa kebesaran Munawarah. Kesannya menyebabkan jiwa penyair menjadi lebih lentur, berbanding sebelumnya agak lebih keras bagaikan pengadil dengan hukuman kad merah.
Sehubungan itu, pandangan A. Teeuw (1984) yang menyatakan karya sastera mempunyai interaksi yang kuat dalam membangunkan pemikiran sama ada melalui kalimat atau morfologi bahasa adalah benar. Sajak Sejemput Jiwa merakamkan kerendahan rasa yang hadir berbunga dalam jiwa. Kata Munawarah yang berkeupayaan mengundang keluruhan kata, kecairan hati dan jiwa. Demikian dunia intelektual dalam ungkapan kata-kata lewat puisi Sejemput Jiwa mampu mewarnai sentuhan pengalaman, kematangan dalam membentuk makna sajak.

Penulis, Pensyarah Sambilan di Universiti Sains Malaysia