Thursday, May 6, 2010

BELUKAR SEBUAH WACANA SENI

Belukar Sebuah Filem Seni
Oleh: Salleh Yaacob, USM
Sebuah filem yang baik antara lain mestilah mempunyai inferensi dan berupaya memberi daya tarikan serta takulan kepada audien. Justeru,secara jujur apabila saya menonton filem Belukar yang ditayangkan di dewan Budaya, USM, ia menampakan suatu kelainan dan pesona seni yang baru dalam perkembangan perfileman di Malaysia.
Saya seperti kebanyakan audien yang hadir, ramai beranggapan bahawa persepsi pada peringkat literal akan berlaku seperti menonton filem-filem seram dan cinta yang lain sebelunya ternyata meleset. Sebelum ini sebagai penonton saya rasakan sudah menjadi kelaziman akan berlaku kebekuan dalam mengolah peristiwa bersandarkan konsep sebab dan akibat yang dipaparkan dalam kebanyakan filem terlalu mudah, tetapi ternyata pembikinannya tidak berlaku dalam filem Belukar. Wacana yang difilemnya itu agak berlainan, malah berupaya menyuntik elemen seni yang bijak.
Memanglah, pengarah-pengarah filem dan penulis skrip boleh memilih tema dan persoalan yang sama. Tetapi pada masa yang sama janganlah mudah sangat terperangkap dengan konsep boleh jual sehingga elemen estetik dan eulogi dalam filem itu dipinggirkan. Penonton mahu berhibur, tetapi dalam berhibur penonton mahu berfikir dan melihat hasil seni berubah dan berkualiti.
Secara umumnya, filem Belukar masih terikat dengan persoalan cinta, dendam, penipuan, tetapi cinta itu wujud secara sampingan. Bermula dengan sebuah kehidupan yang agak peribadi, selesa dan mewah, kita cuba meramal siapakah wanita muda yang cantik sedang bersantai di kolam renang. Perjalanan wacananya dimulakan sebaik sahaja berlaku pertemuan Eva lakonan Daphne Iking dan Nick (Bront Palarae) di sebuah hotel, cerita mula berkembang sehingga melahirkan bibit-bibit cinta tragis. Dalam filem ini cinta hanya suatu faktor, tetapi untuk mendapatkan cinta dan membeli sebuah kapal adalah perjuangan, yang terhidang dalam Belukar
Belukar hanyalah simbolik semata-mata, kerana pada akhirnya difantasikan ada sebuah kapal yang tertulis nama Belukar; ertinya untuk memperoleh kejayaan mesti berdepan dengan pelbagai dugaan . Babak belukar bergerak pantas, aksi nyata yang memaparkan belukar hanya sedikit iaitu ketika mereka lari masuk ke hutan Belukar. Dalam filem seni kita buka mencari realiti, tetapi realiti bertemu dalam wacana pada ketika dan waktunya, hal yang sedemikian telah berlaku dalam filem-filem P. Ramlee. Secara logiknya, Belukar bukan seperti belukar dalam filem Tarzan, atau filem-filem yang menampilkan imej-imej binatang.
Secara umumnya dalam filem ini, Nick ditugaskan menyiasat oleh Syarikat insuran ABG berkaitan dengan penipuan tuntutan insuran, dan kebetulan dalam proses penyiasatannya itu berlaku pertemuan Eva dengan Nick yang membesar bersama-sama dalam belukar penderitaan. Imbasan-imbasan yang ditunjukkan membantu penonton menilai dan membuat ramalan. Api yang marak semasa Eva masih kecil seolah-olah membayangkan dendam, amarah dan semangat Eva yang menyala.
Memandangkan Belukar memilih latar Sabah dan Labuan, malah menjadikan sebuah lagi filem yang mengangkat segelintir jiwa kecil Sabah, untuk didengar dan direnungi, bagi saya ia memberi impak besar terutama kepada anak Sabah yang berada di perantauan. Dengan panorama yang menarik, lakonan yang baik, penataran bunyi serta kamera dan suntingan yang bijaksana, Belukar bakal menjanjikan banyak kelainan jika dibandingkan dengan filem-filem sebelumnya.
Semasa saya menonton, saya berteka-teki dan cuba membuat tanggapan atau membiarkan plot cerita itu berkembang ke peringkat seterusnya. Pada saya, inilah kelainan yang cuba disuntik dalam filem Belukar iaitu kesukaran membuat ramalan, umpamanya apa akan berlaku kepada Nick dan apakah tindakan Eva. Sehingga pada suatu tahap saya membayangkan kekuatan dendamnya seperti dalam sebuah filem Women Quanba.
Sama seperti cinta, dendam juga hanyalah faktor sampingan. Justeru, Nick yang menyamar menjadi pemandu pelancong, kemudian diberi sehelai tuala, Eva yang luka dan terluka digambarkan masak dengan jantan cuba menguji cinta lelaki kepadanya. Dalam episod memberus gigi dan cara mengambil bunga semasa kaca beselerak di lantai, misalnya, saya dapat rasakan bagaimana wujud kekuatan filem itu bercerita seadanya. Ini bermakna dalam filem Belukar ungkapan dialog dan kesan imej memberi sentuhan emosi yang baik kepada penonton, malah kelainan ini disokong pula dengan kesan bunyi, persembahan lagu dan muzik jalanan yang sesuai mengiringi sesuatu adegan belukar.
Filem Belukar bertambah menarik apabila lakonan bersahaja dibawa oleh kedua-dua pelaku dalam cerita Belukar. Kesan lakon layar yang dibikin oleh Jason Chong dan PZP selaku penerbit, senimatografi yang baik menyebabkan penonton dapat merasai wujud kelainan dalam pendekatan yang dibawanya. Adakalanya sebagai penonton saya merasakan filem Belukar berkembang dalam satu kesatuan yang agak lain daripada filem cinta yang lain. Elemen cinta, dendam, pelacuran dan jenayah menjadi peristiwa yang menjadi perlambangan yang tumbuh dalam Belukar.
Berdasarkan filem Belukar kita diberi peluang menikmati imej-imej yang bersambung tetapi turut memalitkan kesan emosi dalam imej yang dihidupkan. Pemeguannya dikemaskan lagi dengan kreativiti dalam aspek lakon layar, sentuhan teknik bunyi , muzik latar, lokasi lakon yang berada dalam kesatuan figuratif. Kekuatan filem Belukar yang diwarnai antara lain plot pertarungan episod masalalu dan masakini yang hancur musnah kerana kehilangan pedoman. Belukar tidak bermula dengan dendam dan sakit hati, tetapi fenomena itulah yang mempengaruhi watak Eva. Ibunya dirogol, dan Eva itu membesar dalam konteks anak luar nikah. Membesar dalam perkampungan daif, terjerat dengan penipuan dan pelacuran licik.
Filem Belukar yang dimerahkan huruf e antara lain membawa kepelbagaian pengertian. Secara luaran, e itu ditafsirkan dengan emosi dan dikaitkan pula dengan darah, dendam, penipuan yang disudahkan dengan bertarung untuk mendapatkan wang. Walau bagaimanapun e menjadi satu simbol yang membawa makna episod hitam yang berbunga-bunga dalam watak Eva. Garisnya barangkali diangkat dengan imej api yang membakar, kemuncaknya dijelmakan dengan memusnahkan kehidupan masalalu Eva.
Justeru, pada saya dalam filem Belukar kita melihat masalah bergerak dan hidup dalam filem. Filem itu pula bergerak di dalam ruang dan garis masa dan penonton teruja menyaksikan proses seni penciptaannya. Belukar menghimpunkan beberapa permasalahan kehidupan Eva dalam sebuah kehidupan yangn bersambung-sambung dalam kepelbagaian ruang, imej dan kata. Dalam ruang imej disatukan oleh Eva dalam kepelbagaan perasaan gembira, sedih, simpati, ganas, geram. Eva ingin bercerita dan menjadi manusia bebas, manusia yang berjaya tetapi Belukar telah menghitamkan kehidupannya.
Dalam belukar, yang hitam cuba dijernihkan, tetapi yang muncul ialah kehitaman juga. Belukar diwarnakan dengan watak hitam yang mahu keluar daripada kehidupan masa lalu yang tragis. Kesimpulannya. Belukar sebuah lagi filem dan kerja seni yang menarik dan berlainan dalam industri filem dalam negara kita.