Friday, September 30, 2011

Pengalaman Bacaan Dalam Harum Kencana dan Oghe Kota Baru

Salleh Yaacob

Novel skala besar selalunya mempunyai idea yang bertaburan dan akan melanggar segala keteraturan keseronokan pembaca serta mempunyai sedikit kesulitan untuk memahaminya dengan mudah. Novel-novel sedemikian walaupun dinobatkan sebagai pemenang berprestej di Malaysia, namun ternyata ia masih sukar untuk dijual. Apatah lagi menuntut khalayak pembaca untuk membeli atau sekurang-kurangnya meminjamnya di perpustakaan. Ia sama sekali berbeza dengan filem. Laris dan mudah dicetak rompak. Panel penilai telah menamakan novel dan pengajur telah menyediakan saguhati tetapi novel berkenaan miskin pembaca. Pembaca tetap menolak novel serius dan memilih novel-novel popular yang ringan dan mudah untuk dihayati. Mengapa berlaku bebanan sedemikian. Bilakah akan berakhir kepongangan sastera serius dalam arus pembangunan Negara?

Sebagai seorang pembaca, pembaca membaca untuk mendapatkan kenikmatan dan keindahan penyampian cerita. Proses bacaan yang bersifat subjektif ini meletakkan pembaca mengikut selera peribadi. Oleh yang demikian, pembaca pada asasnya tidak boleh dipaksa kerana telah dipasak dengan ungkapan aku punya wang dan kau punya barang. Tentu sekali selera berada di tangan pembaca. Sekiranya sesebuah novel itu intim dengan nalurinya maka pembaca akan mengagahi mindanya untuk menghabiskan buku tersebut. Sebaliknya jika proses bacaan untuk mendapatkan cerita itu melanggari hukum kebiasaan, pembaca akan berhenti membaca. Ada sesetengah pembaca mengatakan mengapa perlu sakit kepala, mengapa perlu menyusah diri untuk berfikir hal-hal di luar kemampuan diri. Berdasarkan pemasalahan sedemikain, industri buku khususnya novel-novel serius sukar dijual. Apatah lagi mahu diulang cetak, fenomena sedemikian sungguh meletihkan dan tidak berkesudahan. Di sebalik kekusutan tersebut, terdapat beberapa faktor penting yang mempengaruhi kesuraman berkenaan.

Budaya membaca tidak dibangunkan sejak awal. Jika direnung sejak awal pelajar-pelajar di sekolah dan juga di rumah tidak didedahkan dengan budaya membaca. Minat dan jatuh cinta pada buku dan bahan bacaan tidak menjadi budaya dalam keluarga. Barangkali bagi keluarga miskin factor kewangan menjadi penghalang. Program nilam umpamanya program paksaan kerana budaya membaca itu gagal mendidik murid-murid membaca buku kerana banyak masa dihabiskan secara sia-sia. Murid-murid kini lebih banyak berbual kosong dan bermain game dalam komputer. Mereka membesar dan menjadi malas untuk membaca. Hal sedemikian berlaku disebabkan oeh pengalaman bacaan pembaca yang tidak didedahkan dengan karya-karya berkualiti. Di manakah punca kepada kelemahan ini. Adakah ia hadir kerana fenomena bernegara yang di bentuk sejak sekian lama masih berada dalam kegelapan ilmu. Atau sudah menjadi kelaziman apabila sesuatu itu menjadi terlalu senang dan selesa, pemikiran menjadi kurang berfungsi malah mudah benar untuk menolak kepayahan. Situasi masyarakat di atas sebenarnya telah lama dibahaskan oleh Plato. Katanya dunia terbahagi kepada dua bahagaian, dunia nyata dan dunia edos. Dunia edos iaitu dunia yang tidak kelihatan tetapi dapat dicapai melalui penguasaan ilmu pengetahuan. Dalam pemasalahan ini fungsi dan peranan pendidikan sebagaimana disarankan oleh Herbert Spencer sebanyak tujuh prinsip itu perlu diberi perhatian semula. Antara prinsip tersebut terutamanya fungsi yang keempat iaitu memperbanyak ilmu pengetahuan merupakan bagian penting dalam pendidikan; serta prinsip yang kelima pendidikan dimaksudkan untuk membantu perkembangan fisik, sekaligus otak. Justeru, kelemahan yang sedemikian menyebabkan mimpi negara maju tidak akan berjaya apalagi untuk berdaya saing.

Aristotle menyatakan asas kehidupan manusia, terbahagi kepada dua prinsip iaitu kebendaan dan fizik. Manusia materealistik mahupun individualistic hanya mementingkan tujuan kehidupan dan berusaha untuk memaksimumkan segala-gala tujuan kehidupan yang bersifat keduniaan. Akalnya bijak berfungsi kerana ilmu pengetahuan pasif mendesak supaya lebih bernafsu. Manusia yang berilmu pegetahuan tetapi tidak mempunyai jiwa juga mati. Menolak karya-karya sastera yang berfungsi sebagai pendidikan jiwa makhluk.Pengarangnya memberikan terlalu banyak peristiwa sehingga memualkan pembaca untuk meyelidiki kerumitan yang berlaku dalam melunaskan relasi pemikiran dengan struktur karya. Jika kita membaca novel Sasterawan Negara S. Othman Kelantan. Oghe Kota Baru (selepas ini disebut OKB) dan membaca novel Harum Kencana (HK) karya Zaharah Nawawi ia memberikan pengalaman bacaan yang berbeza di antara satu sama lain.

Oleh yang demikian, bebanan bacaan diberatkan lagi dengan masalah ilmu untuk mencari dan memahami peristiwa, dan seterusnya mengaitkan dengan wacana. Dunia diluar pengalaman adakalanya membatasi bacaan dalam proses penyatuan fikiran untuk menyerap plot demi plot, mengumpul dan menyukat peristiwa yang dibahaskan dalam karya. Sesungguhnya novel skala besar memerlukan pembaca yang berjiwa besar, pembaca yang membaca kerana mahu mencari sesuatu dalam karya.

No comments: