Friday, September 30, 2011

Drama TV Pak Ngah Haji Omar

Oleh: Salleh Yaacob

Dalam filem biografi seorang pengarah sangat terikat dengan keupayaan untuk mempersembahkan fakta dalam adunan secara fiksi realiti. Faktor ini disebabkan oleh banyak situasi, malah kekurangan itu tidak menjadi masalah kepada pengarah kreatif kerana melalui kebijaksanaan kreatif ia mampu mengambarkan tiap babak peristiwa itu sedekat mungkin. Hal yang sedemikian mungkin juga berlaku kerana adakalanya kekurangan modal, ketiadaan kepakaran dan kemungkinan jarak yang masa sudah memisahkan jauh rentetatan peristiwa dalam naskah lakon.

Walaupun begitu, semasa menonton telefilem Pak Ngah Haji Omar, kesan-kesan kekurangan dalam peceritaannya dapat dikurangkan. Penayangan telefilem Pak Ngah Haji Omar dalam mengisi slot Merdekaraya dan diulang siarannya semasa menyambut hari penubuhan Malaysia oleh television berbayar al-Hijrah baru-baru ini amat mempesonakan. Filem arahan Dato Ahmad Tamimi Siregar dengan lakonan hebat Eman Manan, Wan Hanafi Su, Rosnah Johari serta sekumpulan anak muda teater daripada Kedah ini menunjukkan filem biografi sejarah ini mempunyai kelainan jika dibandingkan dengan filem-filem fiksi yang lain. Sayangnya tidak ramai yang berkesempatan menontonnya.

Dato Ahmad Tamimi Siregar pengarah kreatif

Secara ringkasnya, dalam filem ini seorang ilmuan agama menyedari perjuangan bangsa dan negara tidak boleh berdiam diri, Pak Ngah Haji Omar mahaguru silat yang mendalami pengajian Islam, (perwatakan ini di ambang awal pergerakan protes di Tanah Melayu ada di mana-mana kawasan sahaja). Filem atau drama ini, secara asasnya menceritakan hal berkaitan dengan biografi dan perjuangan tokoh agama yang menjadi sanjungan masyarakat. Beliau memilih jalan hidupnya sebagai pemimnpin setempat yang berbakti kepada masyarkat dan merupakan tokoh agama yang berpengaruh untuk mengajak rakyat bangkit menentang musuh,Jepun, komunis dan British sehinggalah mencapai kemerdekaan.

Pak Ngah Haji Omar, watak penting ini amat menyedari perjuangan tidak boleh dilakukan secara bersendirian atau secara berseorangan kerana segala tembok pemisah yang ada antara kaum perlu dirapatkan terlebih dahulu. Selagi ia tidak menghakis akidah dan budaya, penyatuan hidup dengan kaum lain amat diperlukan. Pak Ngah Haji Omar bergabung tenaga melalui kumpulan Silat Selendang Delima, beliau menyerang hendap musuh negara. Pak Ngah Haji Omar akhirnya menyertai parti politik SEBERKAS dan menjadi calon pilihan raya sehingga kemenangan yang diperoleh itu membolehkannya dilantik menjadi wakil rakyat untuk mewakili kawasannya. Pak Ngah Haji Omar juga mendapat kritikan dan teguran daripada Haji Hussin, abangnya. Itu hanyalah bahan mentah yang menjadi asas dalam pembikinan filem.

Semasa saya membaca skrip filem asal, pada hemat saya ternyata filem ini sebuah drama yang berat. Bagaimanakah pengarah mahu menggambarkan suasana yang berlaku di sekitar 55 tahun yang lalu. Selain isu sejarah dan politik, filem biografi tokoh tempatan seperti ini juga nantinya tidak akan memikat selera penonton muda yang sudah biasa dengan filem dan drama cinta dari Korea dan Indonesia. Tetapi dengan keupayaan dan pengalaman seniman besar yang masih tinggal dan aktif berkarya, pengarah hebat dan berpengalaman luas seperti Dato Ahmad Tamimi Siregar serta tenaga produksi, beliau berjaya mengangkat drama bercorak biografi politik dan perjuangan ini menjadi sebuah karya yang menarik untuk ditonton seisi keluarga.

Dengan memilih latar persekitaran di Kuala Nerang yang memiliki sedikit kesan peninggalan sejarah perjuangan tokoh dalam skrip cerita berkenaan, serta dibantu pula oleh keluarga tokoh pejuang berkenaan yang masih hidup, kerja-kerja filem terutama dalam proses penggambaran telefilem ini menjadi seronok, mudah dan berkesan. Pekan Kuala Nerang itu sendiri menyediakan lanskap filem yang banyak membantu kerja seni, umpamanya sebuah rumah sejarah, masjid lama Langgar, kebun dan hutan yang menghijau, sebuah lori ikan, perkampungan Siam yang diperlukan berdasarkan skrip. Segala kemudahan yang ada memudahkan perjalanan proses pengambaran terutama pemilihan lokasi, malah memudahkan kerja-kerja pengarahan.

Selain melatih ilmu persilatan, Pak Ngah Haji Omar juga di datangi watak Ah Seng, penduduk Siam yang turut sama menghadapi ancaman komunis.. Melalui watak Ah Seng yang mewakili Kaum Siam di tanah Melayu. Pak Ngah Haji Omar menyedari orang Siam juga perlu diberi peluang berjuang dan bersilat. Dengan lakonan yang bersahaja, watak sampingan ini membantu menyuburkan kesan dramatik dan kesan pengajaran dalam filem, malah kehadiran komuniti Siam memberi kesan kepada penonton supaya turut bersimpati dengan perjuangan. Eman Manan selaku pendukung watak penting dalam cerita ini banyak mencorak aksi berlakon para pemain diseklilingnya.

Pelakon hebat seperti Eman Manan, yang membawa watak Pak Ngah Haji Omar yang tangkas bersilat seumpama belut pulang ke lumpur, juga amat sesuai dengan ketokohan dalam cerita. Biarpun loghat utara tidak dibahasakan oleh beliau, tetapi kerana kekuatan lokanan Eman Manan bahasa sudah tidak begitu mustahak lagi. Keupayaannya beliau menguasai jurus silat, menyakinkan penonton bahawa itulah Pak Ngah Haji Omar yang diidamkan. Kehadiran dan gaya lakonan beliau banyak menghidupkan perkembangan plot dalam telefilem ini.

Eman Manan dan Rosnah Johari

Sebagai penonton, saya melihat silat ialah simbol penting dalam perjuangan dan ia menjadi amalan pemakaian orang Melayu. Silat juga menjadi cermin kepada ilmu dalaman dan kepahlawanan. Demikian, nasihat Pak Ngah Haji Omar kepada Ah Seng apabila beliau berminat mahu belajar tetapi kehadirannya pada awalnya sangat dicurigai. Babak-babk yang menarik seperti permainan gerak kaki,pelimau,cara menawan musuh dan pencahayaan juga memberi kesan yang sesuai dengan situasi digambarkan.

Semangat kesedaran bangsa serta minda perjuangan juga perlu dipupuk dan ditanam melalui khutbah di masjid-masjid waima di atas lori. Pergerakan penentangan secara senyap ini tetapi hidup dan membiak. Hal yang sedemikian, berlaku dalam masyarakat suatu ketika dahulu. Pemimpin dan penduduk kampung mesti bersatu, dan di sini kita dapat melihat bagaimana pengarah cuba mengambarkannya dengan elemen kreatif yang mudah tetapi tetap menarik dan berkesan. Sebagai penonton kita tidak berasa terganggu malah bersedia menerima teknik pengambaran berkenaan. Dengan menggunakan sebuah lori dan babak turun naik lori itu ia sudah dapat menghubungkan suatu slot dengan slot yang lain.

Semasa di rumah tokoh, pengarah tidak membariskan pasukan keselamatan yang ramai berbanding komunis, tetapi dengan kemuculan seorang ketua pasukan keselamatan yang akan berkerjasama dengan Pak Ngah menentang komunis sudah dapat meyakinkan perjalanan ceritanya. Bagi membangkit kesan ingatan penonton supaya selari dengan cerita, beberapa perisitiwa besar yang tidak mampu dilakukan, ditambah masuk. Beberapa peristiwa yang sedia ada sumbernya di dalam internet supaya menjadi sebahagian daripada perjalanan drama dalam telefilem ini. Contohnya laungan kemerdekaan oleh Tunku Abdul Rahman, rudingan British dan beberapa contoh peristiwa yang lain.

Sebagai penonton saya dapati pesan Haji Omar dan Haji Hussin dalam telefilem ini amat jelas. Cerita ini cuba membangkitkan jiwa rakyat memahami kepentingan silat sebagai ilmu mempertahankan diri dan ikhlas dalam menyertai perjuangan. Kelantangan dan sokongan penduduk kampung menyebabkan Haji Omar atau Pak Ngah mula diperhatikan oleh pihak kerajaan pada masa itu. Pada masa yang sama perjuangan nasionalis pula tersepit dalam kebejatan antara agama dan politik. Haji Omar mendapat sokongan penduduk kerana ketangkasan silat serta kelantangan dan keberanian perjuangannya. Semua peristiwa ini digarap dengan visual yang mudah dan kreatif.

Hari in, sebagai penggemar filem, khususnya drama televison, saya merasakan tidak banyak telefilem cereka yang berkaitan dengan sejarah perjuangan bangsa dijadikan medium berkarya oleh pengarah filem tempatan. Filem-filem sejarah perjuangan Melayu dalam menghadapi ancaman kuasa asing bukan sahaja menawarkan hiburan, bermakna dan kesan nasionalis, tetapi meniup motivasi jiwa kepada genarasi baru. Idea filem seumpama ini perlu diangkat dengan lebih banyak ke layar television bagi mengisi slot drama yang dibanjiri filem Indonesia. Idea dan bahan untuk membuat skrip filem berkenan boleh diadaptasi daripada karya sastera ataupun berasaskan maklumat sejarah dan individu yang tahu ceritanya.

Contohnya biografi Pak Ngah Haji Omar ilmuan yang menyedari perjuangan bangsa dan negara tidak boleh berdiam diri, Beliau memilih jalan hidupnya sebagai pemimnpin setempat dan tokoh agama yang berpengaruh untuk mengajak rakyat bangkit menentang Jepun dan British. Beliau amat menyedari perjuangan tidak boleh dilakukan secara bersendirian, secara berseorangan dan segala tembok pemisah yang ada antara kaum perlu dirapatkan terlebih dahulu selagi ia tidak menghakis akidah. Maka gerakan perjuangan itu perlu diteruskan. Melalui watak Ah Seng yang mewakili Kaum Cina perlu diberi peluang berjuang dan bersilat.

Jiwa Melayu perlu dibangkitkan daripada lalai dengan budaya asing. Silat ialah simbol penting dalam perjuangan Melayu. Silat juga menjadi cermin kepada ilmu dalaman dan kepahlawanan. Semangat dan kesedaran ditanam melalui khutbah di masjid-masjid. Pergerakan senyap tetapi hidup dan membiak ini berlaku dalam masyarakat suatu ketika dahulu. Haji Omar dan Haji Hussin membangkitkan jiwa rakyat menyertai perjuangannya. Kelantangan dan sokongan penduduk kampung menyebabkan Haji Omar atau Pak Ngah mulla diperhatikan oleh pihak kerajaan pada masa itu. Pada masa yang sama Perjuangan nasionalis pula tersepit dalam kebejatan antara agama dan politik. Haji Omar mendapat sokongan kerana kelantangan dan keberanian perjuangannya.

Tahniah, Dato Ahmad Tamimi Siregar. Hari ini beliau merupakan seorang tokoh penting dalam industri seni di tanah air kita. Ketokohannya sangat bernilai kerana beliau terlibat dalam pelbagai bidang seni dan sejak-sejak akhir ini beliau juga berupaya menjadi pengarah yang baik.

No comments: